Perbankan Islam dan BFR
Oleh
Zaharuddin Abd Rahman
Soalan
Antara alasan mereka yang tidak mahu menggunakan pinjaman perbankan Islam adalah kadar BFRnya juga tidak tetap. Bolehkan perbankan Islam berbuat demikian?
JAWAPAN
Sebenarnya soalan ini telah pernah saya jawab satu ketika dahulu di sini. Namun saya cuba menerangkan sekali lagi dalam huraian yang sedikit berbeza.
Ini adalah satu fakta yang sering gagal difahami orang awam. Sebenarnya apabila bank Islam menggunakan Base financing Rate (BFR), itu adalah merupakan kelebihan kepada pelanggan. Begini, BFR digunakan untuk produk yang pelbagai disebabkan buat masa ini semua perbankan islam beroperasi di bawah payungan system kewangan konvensional. Justeru, dalam hal menentukan jumlah keuntungan yang disasarkan oleh sesebuah produk, rujukan dilakukan kepada Base Lendng Rate (BLR) konvensional, namun ia dinamakan BFR kerana perbankan Islam hanya menggunakan BLR untuk semakan harga pasaran di dalam Malaysia, lalu istilah itu ditukar kepada BFR kerana bank-bank Islam tidak memberi pinjaman (lending) tetapi memberi pembiayaan (financing) melalui kontrak-kontrak yang sah di sisi hukum Islam. Antaranya mereka menggunakan kontrak BBA, selain itu ia juga diguna untuk produk AITAB (Sewa beli), Musharakah Mutanaqisah dan lain-lain.
Tanpa ingin menyentuh apa-apa isu berkaitan kesahihan kontrak dan produk itu (kerana semuanya telah panjang lebar dibicarakan), jawapan ini hanya memfokuskan jawapan ringkas yang terus menjawab soalan sahaja. Tanpa merewang kepada isu-isu lain.
Pengguna perlu memahami jika BFR itu digunakan dalam produk di bawah kontrak BBA, ia jelas satu advantage kepada pelanggan kerana kontrak BBA mewajibkan bank dan pelanggan bersetuju atas satu harga yang akan dibayar secara ansuran pada masa hadapan. Harga tersebut kemudiannya dipecahkan menjadi kadar peratusan (rate) agar ia sesuai dengan system yang sedia ada di Malaysia. Biasanya kadar harga jualan (untuk pembiayaan rumah) yang termeterai di dalam kontrak dikenakan oleh bank-bank Islam akan berada pada paras 8 – 10% (kiraan secara monthly rest).
DIMANA GUNANYA BFR?
Setelah itu, bank itu akan memberikan komitmen bahawa pembayaran bulanan yang perlu dilakukan oleh pelanggan akan dirujuk kepada BFR.
Katalah kadar asal dipersetujui adalah 10 %, ( kadar ini biasanya kurang disedari oleh pelanggan kerana amat ramai yang tidak membaca kontrak mereka), seterusnya pihak bank biasanya akan memaklumkan pembayaran tahun pertama, kedua dan ketiga adalah BFR – 1 %.
Maka jika BFR berada pada kadar 6.25 peratus. Ini bermakna pelanggan hanya perlu membayar 6.25 % - 1 % = 5.25 peratus sahaja. Walhal kadar asal YANG DIPERSETUJUI adalah 10 peratus. Itulah yang dinamakan rebate atau diskaun bagi memastikan kadar yang dikenakan oleh bank-bank Islam kekal kompetetif dengan kadar bank-bank Konvensional. Itu yang perlu difahami oleh pelanggan,
BFR adalah satu mekanisme yang diguna bank Islam untuk mengira diskaun yang boleh diberikan kepada pelanggan. Dalam contoh kita tadi bermakna pelanggan diberi diskaun sebanyak 4.75peratus untuk bulan tersebut, jika tiba-tiba BFR turun pada bulan hadapan, jumlah diskaun akan mengembang juga, demikian sebaliknya tetapi sekiranya BFR meningkat melebihi 10 peratus, Bank Islam akan terhad kepada caj 10 peratus sahaja kerana itulah kadar asas (maksimum) yang telah dipersetujui. Bukankah itu amat baik untuk pelanggan?
Jika kadar BFR meningkat melebihi 10 peratus, bank Islam tetap hanya akan mengambil 10 peratus juga, berbanding bank konvensional yang akan menaikkan kadar bayaran selari dengan BLR ke tahap berapa sekalipun.
Kaedah dan penggunaan ini telah disahkan halal oleh pelbagai Majlis Syariah bank-bank Islam di Malaysia dan Timur Tengah. Ia dinamakan produk Home Financing-i variable, produk sebegini ada ditawarkan oleh Hong Leong Islamic Bank, Maybank Islamic Banking, RHB Islamic Bank dan banyak lagi bank Islam yang lain.
Gambar : Produk fixed dengan kemudahan variable oleh Bank Islam. EPR : Effective Profit Rate . CPR :Contracted Profit Rate
Justeru jika kadar tetap setinggi 10 peratus dikenakan oleh bank Islam bagi tempoh 30 tahun, ia sebenarnya masih murah dan hebat berbanding bank konvensional yang menggunakan BLR yang tidak tetap sepanjang masa. Ini kerana walaupun tetap, pembayaran bulanannya sentiasa ditawarkan diskaun oleh pihak bank Islam mengikut kadar BLR semasa. Sedangkan jika BLR melepasi tahap 10 peratus, bayaran bulanan yang perlu dibayar kepada bank islam adalah terikat pada kadar 10 peratus sahaja. Ini tidak berlaku di bank konvensional.
JIKA PELANGGAN INGIN TAMATKAN AWAL
Dalam pembiayaan perumahan, asset atau kenderaan yang tempoh matangnay selama 30 tahun, 10 tahun atau 9 tahun. Jika tiba-tiba pelanggan dalam tempoh 5 tahun sebagai contoh, ingin menjual asset terbabit. Resolusi Majlis Shari’ah bank Negara Malaysia telah mewajibkan semua bank-bank islam untuk memberikan diskaun kepada pelanggan mereka di ketika pelanggan menamatkan kontrak hutang mereka sebelum tempoh matang. Baca lanjut. Kiraan diskaun biasanya mengikut formula yang telah sedia ada di dalam system komputer bank-bank.
Ini bermakna, inshaAllah kita tidak akan mendengar lagi keluhan, mana-mana pelanggan pembiayaan perumahan dan lain-lain aset dari bank Islam, yang ingin menamatkan tempoh pembiayaannya sebelum tempoh hujung, tetapi dikehendaki membayar harga penuh maksimum yang sepatutnya dibayar untuk tempoh matang pembiayaan, sebagai contoh biasanya pembiayaan perumahan mencecah tempoh 25 tahun.
Isu mengapa bank Islam layak mengambil keuntungan kerana bayaran beransur oleh pelanggan telah dihurai dalam artikel sebelum ini. Buka sini.
Selain itu, orang ramai juga tidak boleh membandingkannya di antara satu bank dengan bank yang lain kerana setiap bank mempunyai kadar yang lebih pelbagai lagi, bergantung kepada jumlah peratusan pinjaman. Jika anda hanya meminjam 70 peratus dari harga rumah, kadarnya berbeza dengan 90 peratus. Demikian juga di bank-bank Islam. Sebarang perbandingan mestilah sama di kedua-dua belah pihak.
Kesimpualan jawapan kepada soalan, majoriti pakar Shari’ah di dalam dan luar Negara bersetuju dengan penggunaan BFR dalam system penentuan harga, keuntungan dan diskaun yang akan dikenakan oleh bank Islam. Dalam masa yang sama usaha berterusan sedang dijalankan untuk mengusulkan sistem benchmark Islam yang tersendiri. Boleh buka artikel ini untuk bacaan lanjut dalam hal tersebut.
Usaha penambahbaikan sentiasa berjalan, namun ia memakan masa dan kerjasama serta kefahaman dari banyak pihak.
Sekian
Zaharuddin Abd Rahman
18 Oktober 2010
No comments:
Post a Comment